Ahad, 12 Ogos 2012

Bagaimana Membaca Label Pada Baja

Label pada baja

Seni taman mungkin menjadi minat ramai di antara suri rumah malah seisi keluarga. Bagi yang mempunyai kawasan halaman yang luas, memiliki taman yang cantik merupakan satu bonus dan menjadi ruang rehat bersama keluarga di waktu lapang. Adalah mudah untuk mendapatkan baka tanaman yang baik kerana terdapat banyak nursery tanaman dengan harga yang berpatutan. Namun begitu, untuk mengekalkan tanaman sentiasa sihat merupakan satu cabaran yang perlu dikekalkan. Pada kali ini kita akan meninjau bagaimana menentukan baja yang sesuai untuk tanaman kita. Di harap kita akan sama-sama menerima manfaat dari artikel kali ini.


Mungkin ramai pengguna di luar sana masih lagi ragu-ragu dengan penggunaan baja kimia kerana sukar difahami (mungkin kerana hasil yang tidak seperti yang dijangka). Namun sekiranya kita mengetahui mengenai beberapa fakta berikut, kita akan terus menggunakan baja tersebut tanpa ragu-ragu;

i)     baja kimia mengandungi bahan nutrient yang telah disukat. Ini bermakna tanaman anda mendapat zat makanan yang diperlukan. Tidak seperti baja organik yang mempunyai kandungan zat makanan yang tidak pasti.

ii)   baja kimia tidak mengandungi penyakit atau komplikasi lain. Berbeza dengan baja organik yang biasanya diperbuat daripada najis haiwan dan sisa tumbuhan reput, mungkin boleh membawa jangkitan kepada tanaman kesayangan anda. Baja kimia yang diperbuat di kilang tidak melalui proses pendedahan kepada elemen-elemen ini.

iii)  baja kimia lebih murah. Sekiranya diamati kadar zat dan harga yang ditawarkan oleh baja kimia, sememangnya ia jauh lebih murah berbanding baja organik. Ini kerana baja kimia tidak mengandungi bahan lain selain nutrient yang diperlukan tanaman, berbanding baja organik yang belum tentu mengandungi nutrient yang diperlukan.

Itu adalah 3 kebaikan utama yang ditawarkan oleh baja kimia yang paling penting. Bagaimanapun sekiranya anda menggunakan baja kimia perkara yang perlu diberikan perhatian adalah kadar dos yang diperlukan untuk tanaman anda, perlu diberikan perhatian. Sentiasa baca label pada baja dengan teliti sebelum ianya digunakan. Mulakan dengan dos yang sedikit untuk mengelakkan tanaman anda rosak.

Penggunaan baja kimia perlu berhati-hati

Baiklah, berbalik kita kepada cara mengenal baja kimia melalui label seperti yang saya janjikan di awal artikel tadi. Label pada baja sebenarnya menyatakan tentang kandungan utama baja tersebut iaitu (N - P - K atau Nitrogen - Phosphorus - Potassium). Baja akan sentiasa diwakili mengikut turutan ini sebagai rujukan bagi zat makanan yang terkandung di dalamnya. Terdapat banyak jenis baja antaranya 30 - 10 - 10/ 10 - 5 - 5 / 21 - 0 - 0 dan sebagainya. Ini bermakna jika anda membeli 100kg 30 - 10 - 10 anda sebenarnya memiliki 30kg nitrogen, 10kg phosphorus dan 10kg potassium. Manakala, 50kg lagi bahan tambahan yang tidak aktif.

Secara ringkasnya zat makanan boleh dirumuskan kepada; Nitrogen - untuk kehijauan dan tumbesaran, manakala phosphorus dan potassium adalah untuk bunga dan akar. Jadi sekiranya anda ingin membajai laman anda, baja 21 - 0 - 0 adalah jenis baja yang sesuai. Namun begitu bagi membolehkan ianya tahan cuaca (melalui akar yang kukuh) baja 10 - 6 - 4 dapat membantu pertumbuhan akar disamping pertumbuhan yang diperlukan.

Terdapat juga baja-baja yang menawarkan mikro nutrient di dalam baja mereka. Sebenarnya nutrient tersebut terdapat di dalam tanah dan diperlukan pada kadar yang sedikit sahaja. Selain daripada itu tumbuhan juga tidak dapat memproses zat dalam bentuk sebatian seperti lemak, protein dan vitamin. Adalah penting untuk mengenali baja yang anda gunakan untuk tanaman anda, ini kerana tanaman anda mungkin boleh rosak sekiranya menggunakan baja dengan cara yang salah. Mungkin di lain masa saya akan berkongsi lagi tips-tips berguna berkenaan dengan tanaman ini. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan komen sila kongsi bersama di ruangan yang sepatutnya. 


Laman yang cantik sebegini memerlukan pemeliharaan yang rapi dan pembajaan yang cukup

Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog